TUMPAT – Bersempena sambutan Hari Guru ke-44 pada tahun ini, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan menziarahi seramai 23 pesara guru yang kini berada dalam keadaan uzur, di rumah masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Idris Muhamood mengetuai rombongan ziarah dari rumah ke rumah itu untuk melihat sendiri keadaan pesara guru tersebut.

Idris berkata, aktiviti ziarah itu juga sebagai tanda ingatan bahawa jasa dan bakti pesara guru mendidik anak bangsa tetap dihargai.

"Kalau bukan kita yang menziarahi mereka, siapa lagi? Semoga kunjungan persatuan ini dapat menggembirakan pesara-pesara guru itu.

"Kehidupan, kebajikan dan kesihatan mereka tetap diberikan perhatian walaupun telah bersara daripada dunia pendidikan," katanya yang turut menghulurkan sedikit sumbangan kepada pesara guru pada aktiviti ziarah tersebut.

Menurutnya, seramai 13 pesara guru sempat diziarahi bersempena aktiviti berkenaan, sembilan pesara guru lagi akan diziarahi pada minggu depan bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan.

Sementara itu, pesara guru, Mahmud Yaakob, 86, dari Kampung Padang Tok Ku, di sini, yang menghidap penyakit Parkinson sejak 10 tahun lalu berasa gembira menerima kunjungan rombongan tersebut.

"Saya gembira apabila ramai rakan-rakan serta anak-anak murid saya datang menziarahi saya bersempena sambutan Hari Guru ini. Alhamdulillah, mereka masih mengingati saya," katanya.

Mahmud menamatkan perkhidmatannya selaku guru besar di Sekolah Kebangsaan Morak, Palekbang, dekat sini, pada 1983 dan merupakan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Tumpat serta bekas Setiausaha Umno bahagian itu.
Sumber: Sinar Harian 18 Mei 2015